Mehnah Dakwah; Sorotan Kembali Dua Sejoli Di Atas Jalan Jihad  

Posted by Unknown

Kubah Masjid di Mesir

Nama lengkapnya ialah Kamal Shohaimi. Dia anak ketujuh daripada tiga belas adik beradik. Dilahirkan di Kairo, Mesir pada tahun 1918. Ayahnya pemilik farmasi di Sayeda Zainab, Kairo. Latar belakang mendorongnya bekerja di Jabatan Kesihatan selepas tamat sanawi.

Ciri yang menonjol pada diri Kamal sejak kecil berbanding dengan saudaranya yang lain ialah kecenderungannya dalam agama. Kecenderungannya itu kerap mempengaruhinya dalam pelbagai acara keluarga. Selalunya suasana perjumpaan keluarga yang dihadirinya akan berubah menjadi majlis ilmu dan muzakarah. Beliau sungguh berperanan dalam mencorak keluarganya ke arah Islam.

Kecenderungan Kamal terus berkembang subur khususnya apabila dia disentuh oleh Jamaah Ikhwanul Muslimin yang pada masa itu dipimpin oleh As-Syahid Hassan Al-Banna. Usianya sewaktu itu dihabiskan dengan penglibatan yang bersungguh-sungguh dalam manhaj Ikhwanul Muslimin yang meliputi bidang tarbiyah, dakwah dan amal jamai'e. Tidak dihairankan apabila benih yang subur diletakkan di bumi yang subur, kemudian dibajai dan dipupuk, maka ia tumbuh bersemi, membesar, mendaun dan mengeluarkan buah yang mempesonakan.

Namun, adalah menjadi sunnatullah, perjalanan dakwah diwarnai dan disirami keringat darah dan air mata. Tabiat perjalan ini sangat difahami oleh Kamal dan sahabat-sahabatnya. Dengan penuh tawakkal kepada Allah SWT, mereka ditimpa kezaliman daripada regim Jamal Abdul Nasir pada tahun 1954 yang mengheret mereka ke penjara. Kamal dijatuhkan hukuman mati. Namun dengan izin Allah SWT, Kamal kemudiannya dihukum dengan 25 tahun penjara dengan melakukan kerja berat.

Kekejaman penyiksaan dalam penjara menyebabkan indera pendengarannya kurang normal. Namun Kamal yang akrab berhubung dengan Allah dan kerap mendoakan mati syahid menganggap semua peristiwa itu sebagai jalan untuk terus memperkuatkan keimanan dan kemesraannya dengan Allah SWT. Beliau terus bermunajat kepada Allah SWT dalam ruku' dan sujudnya di malam yang gelap gelita dan di dalam puasanya di siang hari.

Sangatlah wajar apabila Ustaz Mustafa Masyhur menyatakan bahawa Kamal menjadi contoh kesabaran, ketabahan dan ketetapan untuk sahabat-sahabatnya yang ada bersama di dalam penjara taghut. Bahkan Ustaz Mustafa Masyhur yang bertahun-tahun berada dalam penjara bersamanya juga menyaksikan bagaiman keteguhan hatinya untuk tetap memakai pakaian nipis penjara, walaupun seuasan sekeliling sangat dingin, lantaran didorong oleh semangat untuk melepaskan diri daripada sifat bergantung pada duniawi.

Setelah lima tahun berada dalam kurungan besi, Kamal dihantar ke hospital Liman Taroh akibat tindakan kejam yang ditanggungnya. Di sinilah dia berjumpa dengan Sayyid Qutb. Sesunggunya perjumpaan ini adalah perjumpaan yang penuh barakah. Dalam pertemuan itu, Kamal telah menyampaikan hajatnya untuk menyunting Aminah Qutb, adik kandung Sayyid Qutb, Hajatnya itu disambut gembira oleh Sayyid Qutb. Bagaimanapun belum sempat hajat itu disampaikan kepada Aminah Qutb, Kamal dihantar semula ke penjara. Sekalipun sedemikian, hajat ini tetap disampaikan Sayyid Qutb kepada Aminah Qutb, dan lamaran itu terus diterima oleh adiknya walaupun dia tahu bakal suaminya masih mempunyai tempoh tahanan sebanyak 20 tahun lagi, Subhanallah...

Aminah Qutb berkunjung ke penjara Liman Taroh bersama beberapa anggota keluarganya. Pernikahan berlangsung dalam suasana Kamal ditawan oleh konco-konco taghut. Kini rasmilah mereka menjadi dua sejoli suami isteri.

Hubungan hati kedua sejoli ini terus mekar meskipun mereka dipisahkan oleh tembok penjara dan berjauhan. Kunjungan dan surat-surat daripada Aminah benar-benar menjadi hiburan imani untuk Kamal dan sahabat-sahabatnya yang lain. Sewaktu menziarahi suaminya, Aminah kerap ditemani adik kandung Kamal. Satu ketika setelah Aminah menempuh perjalanan yang jauh dari Kairo ke Qana, kemudia dari Qana ke penjara, maka terungkaplah satu kisah yang menyedihkan antara mereka yang diceritakan oleh adik Kamal. Dalam suasana yang terharu itu, Kamal menghampiri isterinya lalu berkata,

“Isteriku Aminah, Adinda memang tahu dan sepertimana yang telah aku katakan dulu, yakni sejak pernikahan kita, bahawa keadaan aku dalam penjara ini masih tidak jelas. Adakah akan berakhir 20 tahun lagi atau hayatku akan berakhir di sini? Aku tidak sanggup melihat penderitaan yang engkau alami. Mulai saat ini, aku serahkan kepadamu untuk menentukan masa depanmu. Abdul Nasir telah memujuk kami untuk menyetujui keputusannya, tetapi tidak mungkin kami menerima keputusannya itu, meskipun kerananya jasadku dipotong-potong. Fikirkan dengan baik dan tuliskan pendapatmu..”

Sebaik saja Aminah mahu menulis jawapan untuk suaminya, dia diusir keluar kerana waktu lawatan sudah tamat. Kesedihan Aminah sudah dijangkakan kerana tidak dapat menjawab pertanyaan suaminya. Aminah dan adiknya pulang meninggalkan penjara itu. Apabila tiba di rumah, Aminah terus mencurahkan perasaan hatinya yang terbendung sejak dipenjara lagi. Meluncurlah rangkap-rangkap syair cinta imani, yang antara lainnya berbunyi,

“Adinda akan tetap hidup bersama jihad,

kerana jihad adalah pintu syurga

Suamiku,..

adinda akan tetap setia di sampingmu mengharungi jalan ini..”

Syair itu dikirimkan kepada Kamal. Sungguh luar biasa kesannya. Kamal benar-benar merasai nikmat pertolongan Allah melalui teman hidup yang solehah di tengah-tengah kemelut siksaan musuh yang kejam.

Detik demi detik berjalan terus. Pada tahun yang kedua puluh dua Kamal dikurung dalam penjara, tersebarlah berita kematian Jamal Abdul Nasir dan digantikan dengan Anwar Sadat. Anwar Sadat kemudiannya membebaskan tahanan politik dan kebebasan itu tidaklah bermakna perjuangan akan berakhir.

Kamal ditangkap semula dalam operasi penangkapan besar-besaran pada 4 Mei 1981. Dua bulan selepas itu dia menemui cita-citanya yang kerap diucapkan dalam doa iaitu syahid digantung selembar kain oleh rejim yang kejam dalam sebuah kamar penjara.

Tipu daya musuh-musuh Islam belum tamat. Mereka menghebohkan berita bohong ke tangan masyarakat menyatakan Kamal mati akibat bunuh diri. Na'uzubillah min zalik. Satu tuduhan yang tidak layak dilontarkan kepada seorang hamba Allah yang seluruh jasad dan rohnya diwakafkan untuk perjuangan di jalan Allah. Wallahualam.

0 comments

Post a Comment